Monday, July 3, 2017

EMAK DAN AYAH KITA, syurga yang tak mungkin ada gantinya.

Assalamualaikum.

Nukilan dari daripada teman fb ini membuatkan saya ingin kongsikan di blog kesayangan. Selamat membaca. Semoga Allah bukakan hati2 yang keras lagi sombong  dan tukarkan kepada rasa belas dan rindu pada keluarga yang bersama2 ketika kecil dan susah dahulu...aamiin.


Aku berjalan perlahan-lahan. Buat pertama kali aku tarawih 20 rakaat di Masjidil Haram. Memang ya tak penat sangat pun. Ujiannya cuma panas dan berbahang sahaja. Bacaan imamnya sedap sungguh. Tak perasan dah 20.

Aku terus mendaki di Ajyad. Rezeki kami tinggal agak jauh waktu itu. Ramadan tahun lepas memang ya boleh tahan diuji dengan pelbagai rencah kehidupan.

Hotel kami jauh ya ampun. Kena berjalan dalam 600 meter. Kedudukannya betul-betul di simpang sebelum terowong. Memang kena berjalan ala mendaki bukit. Bayanglah waktu panas bulan puasa bagaimana. Hihi.

Elok aku nak beli jus dan aiskrim malam itu, aku duk terpandang seorang makcik yang terbaring di kaki lima. Telekungnya kotor sangat, baju dan seluarnya pun sama. Mulutnya terkumat kamit, jari jemarinya bermain dengan tasbih hitam. Memandang langit dan terus sahaja matanya terpacak tepat seolah melihat bintang berkerdip di angkasa.

Aku tergamam.

Bibirnya, mulutnya, matanya, hidungnya, pipinya, kedut-kedut sekeliling dagu dan dahinya memang persis muka emak.

Aku berdiri lama memandang. Ah dah kenapa terbayang wajah emak aku sendiri dalam keadaan tersebut. Lalu aku berjalan dan menghampiri. Terus mencangkung dan beri isyarat kepadanya nak makan atau tidak? Hanya tunjuk tangan dan halakan ke mulut.

Beliau angguk dan terus menangis. Aku terus bangun. Belikan kebab, ayam, air mineral dan pergi ke arahnya.

Ya Tuhan. Beliau bingkas duduk dan ya sungguh memang seiras dengan emak.

Aku mencangkung buka plastik. Air mata dah turun selebat-lebatnya. Tak tertahan aku nak tanggung. Aku pegang 1 botol air kemudian beliau mencuci tangan. Terus sahaja mengambil kebab dan menjamahnya perlahan-lahan. Sebelah tangannya menepuk-nepuk bahu aku, seperti memujuk supaya berhenti menangis.

Abang yang menjual aiskrim dan jus datang apabila sudah tak ramai kedai mereka, mereka kata makcik ini dah berbulan ada.

Kemungkinan sesat dari jemaah dan tak kenal dirinya sendiri. Lalu dia mengharap bantuan orang ramai.

Kadang-kadang beliau di situ, kadang-kadang berhari-hati tak datang.

Aku pun pulang ke hotel. Terus lupa nak beli apa yang aku nak. Naik lif menuju ke dewan makan, ambil minuman dan duduk sekejap seorang diri. Masih duk lap mata. Dan masih lagi sangat bersedih.

Lalu datang 2-3 orang pakcik. Dah berumur sangat, masing-masing bawa gahwa dan roti. Mereka tanya kenapa aku menangis. Dan aku cerita. Aku persoalkan kepada Tuhan beri aku beban begitu. Wajah makcik tersebut ya sungguh iras emak aku.

Dan kenapa Tuhan sengaja beri aku nampak. Beri aku mencangkung dan campakkan dalam hati aku ini untuk bantu. Sedangkan di situ beribu orang lalu lalang.

Salah seorang pakcik itu cakap,

"Mungkin kau pernah berdosa dengan emak kau tak? Kau dah bawa dia datang sini?"

Aku geleng.

"Kau datang sini berapa kali dah?"

Aku tunduk.

Terus aku sedar. Ya, kita tak pernah tahu ujian apa dan signal apa yang Tuhan beri. Namun, kita boleh baca ikut hati kita yang berTuhan ini.

Dia beri kita kesusahan di kepala dan hati. Untuk kita yakin dan percaya selagi kita hidup itu ada peluang untuk kita perbaiki diri.

Taubat dan berubah itu masih boleh dibuat selagi kita bernyawa. Dan kena sedar, sebagai anak lelaki, hebat bagaimana pun kita, ibu kita, emak kita, mama kita, tetap kita kena utamakan.

Selepas 6 bulan, dalam keadaan aku tak berduit, aku berjaya bawa emak menunaikan umrah disember tahun lepas.

Dan segala beban perasaan yang aku tanggung selama ini, hilang begitu sahaja.

Tadi, aku cerita kepada orang rumah aku kisah ini, saat mentua aku melayan besannya datang, orang rumah aku melihat air mata aku tumpah kerana cerita ini.

Isteri aku kata, "Tuhan sayangkan kita, beri kita ujian untuk kita nampak salah silap kita. Ada orang, diuji hebat pun masih belum ada kesempatan untuk nampak, lalu terus berbuat dosa. Itulah kerugian paling besar."

Kawan-kawan,

Perbaiki selagi sempat. Hidup kita sekali sahaja. Emak ayah kita, syurga yang tak mungkin ada gantinya.

Khairul Hakimin Muhammad,
Kerana cinta.

1 comment:

Penjejak Mimpi said...

Assalamualaikum wbh kak Ati.

Lama giler tak baca coretan kak Ati. Sihat ke kak?
Moga sihat2 selalu lah hendaknya.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin ye kak Ati.. :)